Rabu, 20 Disember 2017 | 9:04pm
ANGGOTA polis mengawal lokasi serangan di kelab malam popular, Reina, pada sambutan Tahun Baru 2017 yang meragut 39 nyawa. - Foto AFP

Turki haramkan sambutan Tahun Baru di Dataran Taksim

ISTANBUL: Pihak berkuasa Turki melarang sambutan Tahun Baru di Dataran Taksim atas alasan keselamatan, lapor media hari ini, memetik kenyataan pegawai tempatan.

Ketua Polis daerah Beyoglu di Istanbul, Ismail Kilic, berkata langkah keselamatan digandakan tahun ini susulan siri serangan sejak dua tahun lalu.

"Kawalan keselamatan Tahun Baru ditingkatkan pada tahap tertinggi," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Anadolu.

Turki berhadapan siri serangan pengganas yang didakwa dilancarkan militan Kurdis dan Daesh, termasuk kes tembakan di kelab malam popular, Reina, pada sambutan Tahun Baru 2017 yang meragut 39 nyawa.

Imej yang disiarkan polis ketika melancarkan usaha memburu penyerang diambil daripada video mengerikan militan Daesh, Abdulgadir Masharipov yang dikatakan merakamkan Dataran Taksim, sebelum memasuki kelab malam elit itu untuk melancarkan serangan.

"Kami meningkatkan kawalan kerana penyerang Reina mengubah lokasi selepas melihat keadaan keselamatan di Taksim," kata Kilic.

Selepas penangkapannya, Masharipov, warga Uzbekistan, mengaku melepaskan tembakan dan dilaporkan memberitahu dia diarah mencari sasaran baru oleh pemimpin Daesh kerana Taksim tidak sesuai untuk serangan. - AFP

Berita Harian X