Jumaat, 22 Disember 2017 | 1:36am
NAIB Pengerusi Majlis Akhbar Myanmar, Aung Hla Tun bercakap pada sidang media mengenai dua wartawan yang ditangkap di Yangon, Myanmar - Foto EPA

PBB nafi wartawan Reuters beri maklumat

YANGON: Dua wartawan agensi berita Reuters yang ditahan pihak berkuasa Myanmar sejak 12 Disember lalu, kini direman dan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi Burma.

Jurucakap polis, Kolonel Myo Thu Soe, berkata kedua-dua mereka sudah dihadapkan ke mahkamah.

"Perintah tahanan reman sudah dikeluarkan dan kes ini disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi Burma.

"Setakat ini, mereka tidak dibenarkan bertemu sesiapa dan sedang disiasat," katanya.

Wartawan berkenaan, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, ditahan sembilan hari di lokasi rahsia, selain tidak dibenarkan menerima pelawat atau mendapatkan khidmat guaman.

Isteri Wa Lone, Pan Ei Mon berkata, beliau dimaklumkan polis, mereka dalam keadaan sihat.

Pihak berkuasa sedang menyiasat jika wartawan itu melanggar Akta Rahsia Rasmi era penjajah yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Wa Lone dan Soe Oo dikatakan sedang menyiapkan laporan mengenai krisis kemanusiaan di Rakhine, yang mana lebih 650,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menafikan dua wartawan Reuters terbabit memberi maklumat kepada mereka, menolak laporan diterbitkan di media tempatan yang mendakwa ia mungkin menjadi alasan penahanan.

Laporan diterbitkan dalam talian oleh majalah Irrawaddy Selasa lalu memetik sumber tidak dinamakan yang ada hubungan rapat dengan perisikan tentera sebagai berkata, dua lelaki terbabit mengedarkan gambar diperoleh ketika laporan berkaitan keganasan di Rakhine kepada PBB. - Reuters

Berita Harian X