Selasa, 2 Januari 2018 | 12:57pm
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in'. - Foto EPA
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in'. - Foto EPA

Seoul tolak dialog dengan Pyongyang

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, berkata usaha menangani ketegangan hubungan dengan Korea Utara perlu dikaitkan dengan penyelesaian program nuklear Pyongyang.

Jae-in berkata demikian, ketika mengulas hasrat Korea Utara untuk mengadakan perbincangan dengan Seoul, tetapi masih tetap dengan pendirian untuk memperluaskan program nuklearnya.

"Usaha untuk memperbaiki hubungan antara Seoul dan Pyongyang tidak boleh dibuat secara berasingan dengan isu menamatkan program nuklear Korea Utara.

"Jadi Kementerian Luar akan bekerjasama rapat dengan sekutu kami serta masyarakat antarabangsa berhubung perkara ini," kata Jae-in ketika berucap pada mesyuarat Kabinet.

Ucapan Jae-in itu dianggap bercanggah dengan kenyataan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un semalam, yang meminta Seoul supaya berhenti meminta bantuan daripada negara luar untuk memperbaiki hubungan antara dua negara terbabit.

"Ini menunjukkan pentadbiran Jae-in melihat keadaan ini secara rasional dan realistik.

"Kenyataan ini membuktikan bahawa menangani isu nuklear Korea Utara adalah lebih penting (daripada memperbaiki hubungan antara dua negara di Semenanjung Korea)," kata Ketua Institut Pengajian Korea Utara di Seoul, Jeong Yeung-tae.

Sebelum ini, ketika berucap sempena sambutan Tahun Baharu, Jong-un berkata, beliau sedia mengadakan dialog dengan Seoul dan kemungkinan atlet dari negara itu untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan. - Reuters

Berita Harian X