Selasa, 3 April 2018 | 6:12pm
MENTERI Luar Korea Utara, Ri Yon-ho. - Foto AFP

Menteri Luar Korea Utara kunjungi Beijing

BEIJING: Menteri Luar Korea Utara, Ri Yon-ho, tiba di sini, hari ini, bagi menghadiri sesi perbincangan dengan rakan sejawatannya, Menteri Luar China, Wang Yi.

Perbincangan itu berlangsung seminggu selepas pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un berkunjung ke China, iaitu menjelang sidang kemuncak dengan pemimpin Amerika Syarikat dan Presiden Korea Selatan.

Menurut Kementerian Luar China, kunjungan terbaharu ini adalah sebahagian daripada usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan di wilayah itu berikutan pelbagai kenyataan ancaman perang antara Amerika Syarikat dan Korea Utara, mengenai program nuklear Pyongyang.

Namun, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, tidak mendedahkan maklumat lengkap mengenai perjumpaan antara Wang Yi dan Yong-ho itu, sebaliknya memaklumkan ia akan berlangsung dalam tempoh yang singkat.

Geng Shuang berkata, Wang Yi dijadualkan berada di Russia, pada Rabu ini.

"Maklumat lengkap mengenai mesyuarat itu akan diumumkan pada masa yang sesuai," kata Geng Shuang.

Sementara itu, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan Yon-ho mengetuai delegasi kerajaan bagi menghadiri persidangan menteri-menteri luar Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Azerbaijan.

Yong-ho juga dijadual mengunjungi Russia dan negara-negara bekas Soviet yang lain. - AFP

Berita Harian X