Selasa, 10 April 2018 | 12:01am
Orang ramai berada di lokasi kejadian bas sekolah yang terjunam ke dalam gaung bagi membantu mangsa yang terselamat. - Foto PTI

30 maut bas terjun gaung di India

SHIMLA: Sekurang-kurangnya 30, termasuk 27 kanak-kanak, maut hari ini di utara India apabila bas sekolah terjunam ke dalam gaung di banjaran Himalaya, kata polis.

Bas yang membawa pelajar dari negeri Himachal Pradesh itu terbabas dan terjunam berhampiran Nurpur, 325 kilometer dari ibu negeri wilayah itu, Shimla.

"Bas berkenaan jatuh bergolek ke jurang 60 meter dalam, mengorbankan 27 pelajar, dua guru dan pemandu," kata pegawai polis kanan, Santosh Patialma.

Kebanyakan pelajar asrama itu berusia antara 10 dan 12 tahun, katanya, menambah 12 dikejarkan ke hospital, kebanyakannya dalam keadaan kritikal.

Orang ramai bergegas ke lokasi bas berkenaan yang terbalik untuk mencari mangsa terselamat.

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan kanak-kanak yang cedera dibawa dengan pengusung dan didukung orang ramai dalam keadaan berdarah.

Kerajaan negeri mengumumkan pampasan AS$7,700 (RM29,806) bagi setiap keluarga mangsa. - AFP

Berita Harian X