Rabu, 2 Mei 2018 | 2:53pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto Reuters
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto Reuters

Tentera AS tidak akan berundur: Jae-in

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini menolak dakwaan bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di negara itu perlu beredar jika satu perjanjian damai ditandatangani dengan Korea Utara.

Seoul dan Pyongyang secara teknikal masih berperang sejak 1950-an namun Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bersetuju dalam satu sidang kemuncak minggu lalu untuk berusaha ke arah perdamaian berkekalan bagi menggantikan perjanjian gencatan senjata 65 tahun.

"Tentera AS Korea (USKF) adalah urusan berkaitan pakatan AS-Korea Selatan. Ia tiada kena mengena dengan menandatangani perjanjian damai," kata Jae-in merujuk perjanjian yang menyaksikan 28,500 tentera AS ditempatkan di negara itu.

Ulasan Jae-in dibuat selepas seorang penasihat presiden secara terbuka mencadangkan kehadiran tentera, kelasi dan pasukan udara AS dipersoalkan jika satu perjanjian damai dipersetujui dengan Pyongyang.

Penasihat berkenaan, Moon Chung-in menulis dalam majalah Foreign Affairs, adalah 'sukar untuk menjustifikasi kehadiran tentera AS di Korea Selatan' selepas pelaksanaan perjanjian damai.

Rumah Biru, pejabat Jae-in, memberi amaran kepada penasihat itu 'supaya tidak mencetuskan sebarang kekeliruan' dengan komennya, kata jurucakap Kim Eui-kyeom.

Pertikaian itu timbul ketika Kementerian Pertahanan Seoul mengesahkan, beberapa jet pejuang AS tiba di negara itu untuk mengambil bahagian dalam latihan bersama yang biasa diadakan.

Jet pejuang siluman 'Raptor' F-22 kali terakhir tiba ke Korea Selatan pada Disember lalu ketika negara ini dan Washington melancarkan latihan udara bersama terbesar pernah diadakan, beberapa hari selepas Korea Utara menguji peluru berpandu dipercayai berupaya sampai ke tanah besar AS.

Media tempatan melaporkan, lapan jet pejuang F-22 tiba Ahad lalu di pangkalan udara di bandar selatan Gwangju. -AFP

Berita Harian X