Khamis, 3 Mei 2018 | 12:34pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto AFP
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in. - Foto AFP

Sidang kemuncak pengaruhi sokongan terhadap Moon Jae-in

SEOUL: Sokongan orang ramai terhadap Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dilaporkan meningkatkan selepas berlangsungnya sidang kemuncak dengan Korea Utara, baru-baru ini.

Menurut data yang diperoleh hasil tinjauan pendapat oleh Realmeter, lebih tiga daripada empat undian memihak kepada Jae-in, iaitu kadar tertinggi yang pernah dicatatkan oleh mana-mana Presiden Korea Selatan menjelang tamat tahun pertama pentadbiran mereka.

Realmeter berkata, keputusan itu turut menggambarkan harapan orang ramai terhadap penamatan program nuklear Korea Utara dan usaha perdamaian di Semenanjung Korea.

Sokongan terhadap Jae-in meningkat lebih lapan mata kepada 78.3 peratus dalam tempoh seminggu selepas berlangsungnya sidang kemuncak itu, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju bekerjasama ke arah memeterai perjanjian damai.

"Sikap merendah diri dan bertenang yang dipamerkan oleh Jae-in sejak pilihan raya pada Mei 2017, khususnya ketika bertemu pengundi berjaya mempengaruhi tinjauan pendapat.

"Walaupun sokongan terhadapnya mengalami penurunan pada akhir tahun lalu, namun ia kembali meningkat selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang," kata jurucakap firma tinjauan awam, Hankook Research, Jeong Han-wool kepada AFP.

Han-wool turut menjangkakan, populariti yang diraih oleh Jae-in itu akan berterusan menjelang pilihan raya tempatan bulan depan, apabila parti pimpinannya, Parti Demokratik diramal mendominasinya. - AFP

Berita Harian X