Rabu, 23 Mei 2018 | 8:48am
BINTANG Bollywood dan Duta Muhibah Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Priyanka Chopra.

Priyanka gesa dunia bantu kanak-kanak Rohingya

DHAKA: Bintang Bollywood dan Duta Muhibah Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Priyanka Chopra menggunakan kemasyhurannya bagi menarik pemimpin dunia dan peminatnya terhadap nasib malang menimpa kanak-kanak pelarian Rohingya.

Dalam tulisan di Instagram rasminya, beliau menulis: "Pada suku kedua 2017, dunia menyaksikan imej mengejutkan pembersihan etnik dari Negeri Rakhine di Myanmar. Keganasan itu memaksa hampir 700,000 Rohingya lari menyeberangi sempadan ke Bangladesh - 60 peratus adalah kanak-kanak!"

Priyanka, melancarkan lawatan empat hari berjumpa kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh.

Kelmarin, beliau tiba di ibu kota ini untuk menyaksikan sendiri kehidupan malang kanak-kanak Rohingya dan memantau situasi di kem.

Lawatan lapangan Priyanka bersama UNICEF bermula awal pagi apabila beliau melawat kem Hariakhali di daerah kecil Teknaf di Cox's Bazar, satu daripada pintu masuk utama pelarian Rohingya.

Beliau bercakap dengan kanak-kanak Rohingya, bertanya mengenai keadaan hidup, sekolah di kem dan jika mendapat pemvaksinan wajar.

"Dunia perlu peka. Kita perlu peka. Kanak-kanak ini adalah masa depan kita. Tolong beri sokongan anda di www.supportunicef.org," tambah Priyanka dalam tulisan di Instagram.

"Beliau berada di sini untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu pelarian kanak-kanak Rohingya," kata jurucakap UNICEF di Cox's Bazar, Benjamin Steinlechner.

Priyanka akan kembali ke ibu kota ini esok selepas tamat kunjungan ke kem pelarian, kata Steinlechner kepada Arab News.

Semalam, Priyanka bertemu kanak-kanak Rohingya di kem Unchiprang, ketika ini menempatkan 30,000 pelarian Rohingya. -Agensi

Berita Harian X