Ahad, 1 Julai 2018 | 1:10pm

Ribuan aktivis pro demokrasi hadiri protes

HONG KONG: Ribuan aktivis pro demokrasi dijangka menghadiri demonstrasi jalanan yang diadakan hari ini, sempena ulang tahun ke-21 penyerahan bandar raya ini kepada China.

Kehadiran penunjuk perasaan terbabit bakal menjadi penanda aras berhubung sentimen orang awam ketika ramai aktivis dan pihak pembangkang dipenjarakan, sekali gus menghalang mereka daripada menyertai pilihan raya.

Salah seorang penganjur demonstrasi itu, Sammy Ip, berkata pemimpin Hong Kong, Carrie Lam bukan sasaran utama perhimpunan itu, sebaliknya lebih tertumpu kepada pencerobohan China terhadap bekas tanah jajahan British itu.

Terdahulu, dalam majlis sambutan awal pagi tadi sempena ulang tahun itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam menegaskan bahawa rangka kerja 'satu negara, dua sistem' yang menjadi dasar pentadbiran hab kewangan itu tetap kekal dilaksanakan di bawah pemerintahannya.

"Tanpa rasa takut, kita boleh menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat. Kita juga mempromosikan persefahaman mengenai Perlembagaan, asas perundangan dan keselamatan negara dalam semua sektor," katanya dalam satu majlis jamuan koktel, hari ini.

Yang turut hadir, tiga bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, Tung Chee-wah, Donald Tsang dan Leung Chun-ying serta pegawai kanan Kerajaan China. - Reuters

Berita Harian X