Isnin, 2 Julai 2018 | 10:53am
MAHARAJA Jepun, Akihito. - Foto Reuters

Akihito batal tugas rasmi akibat gering

TOKYO: Maharaja Jepun, Akihito membatalkan tugas rasminya selepas mengalami pening dan loya akibat 'anemia serebrum', keadaan disebabkan otak tidak menerima aliran darah mencukupi, kata pegawai istana hari ini.

Akihito, 84, yang menduduki takhta selama hampir tiga dekad menghabiskan kebanyakan masanya menyembuhkan luka perang, dijangka turun takhta 30 April 2019 dalam tindakan pertama seorang maharaja Jepun selama hampir dua abad.

Agensi Keluarga Diraja, yang menguruskan hal ehwal keluarga diraja berkata, Akihito didiagnosis dengan anemia serebrum selepas mengadu loya dan pening.

Beliau akan dipantau ketika berehat di Istana Diraja di sini, kata agensi itu.

Agensi berita Kyodo berkata, isteri Akihito, Maharani Michiko, masih bertemu Puteri Ayako, anak perempuan mendiang sepupu Akihito, Putera Takamado, hari ini, selepas pengumuman pertunangannya dengan rakyat biasa berusia 32 tahun.

Akihito, yang pernah menjalani pembedahan jantung dan rawatan untuk kanser prostat berkata pada 2016, beliau bimbang usianya yang lanjut menyebabkannya sukar meneruskan tugas diraja.

Satu ketika dulu dianggap jelmaan Tuhan, maharaja Jepun kini dianggap perlembagaan sebagai 'simbol negara dan penyatuan rakyat' namun tiada kuasa politik.

Pewaris Akihito adalah anaknya, Putera Mahkota Naruhito, 58. -Reuters

Berita Harian X