Sabtu, 7 Julai 2018 | 11:15am
Mike Pompeo bersalaman dengan Kim Yong Chol dalam perjumpaan di Pyongyang. - Foto Reuters
Mike Pompeo bersalaman dengan Kim Yong Chol dalam perjumpaan di Pyongyang. - Foto Reuters

Pompeo-Yong Chol bincang isu program nuklear

PYONGYANG: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara membentuk kumpulan kerja untuk menguruskan perkara-perkara berbangkit termasuk mengesahkan usaha untuk menyahkan senjata nuklear, kata seorang jurucakap hari ini.

Ia adalah hari kedua lawatan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ke Pyongyang, Korea Utara.

Jurucakap Heather Nauert berkata, antara isi perbincangan Pompeo dengan wakil tertinggi Korea Utara adalah penghantaran pulang jasad warga AS yang terkorban ketika Perang Korea pada 1950-an selain isu menyahkan senjata nuklear.

Pompeo turut dilihat meninggalkan seketika lokasi persidangan untuk menghubungi Presiden Donald Trump bagi memaklumkan perkembang terkini pertemuan itu.

"Sasaran utama kita adalah untuk mencapai persetujuan penamatan program nuklear Utara," katanya kepada media sebelum menyambung kembali perbincangan dengan pegawai tertinggi Utara, Kim Yong Chol.

Yong Chol bagaimanapun tidak mengulas lanjut isu penamatan program nuklear berkenaan sebaliknya berkata "ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan lagi."

Walaupun tiada ujian nuklear atau peluru berpandu sejak sidang kemuncak Singapura antara pemimpin Trump dan Korea Utara, Kim Jong Un, bulan lalu, imej satelit menunjukkan peningkatan aktiviti di tapak nuklear Yongbyon. - Reuters

Berita Harian X