Sabtu, 7 Julai 2018 | 6:04pm
ANGGOTA penyelamat mengunakan helikopter ketika menjalankan operasi di Kurashiki. - Foto REUTERS
KEADAAN banjir yang melanada bandar Saka, Hiroshima. - Foto AFP

Banjir di Jepun: 38 maut, 1.6 juta berpindah

TOKYO: Sekurang-kurangnya 40 orang maut dan empat kritikal manakala 50 mangsa dilaporkan hilang susulan banjir yang melanda barat dan tengah Jepun, lapor stesen penyiar NHK hari ini.

Bencana itu turut menyaksikan kira-kira 1.6 juta penduduk dipindahkan.

Agensi Kaji Cuaca Jepun mengekalkan amaran khas cuaca bagi tiga negeri di pulau Honshu menurun daripada lima dan menggesa penduduk berwaspada terhadap tanah runtuh, peningkatan paras sungai dan angin kencang.

Sejumlah 583 milimeter (mm) hujan dicatat antara semalam hingga pagi tadi di Motoyama, bandar di pulau Shikoku yang terletak kira-kira 600 kilometer (km) dari Tokyo.

Walaupun cuaca semakin baik antara barat dan timur Jepun, masih ada risiko hujan lebat berterusan apabila udara panas bertiup ke permukaan, dengan kawasan terjejas dijangka menerima lebih banyak hujan esok.

Antara disahkan maut ialah lelaki yang jatuh ke sungai dari jambatan di bandar raya Hiroshima dan lelaki berusia 77 tahun di Takashima, 56 km ke timur Kyoto. Dia dipercayai dihanyutkan ke terusan ketika cuba membersihkan sampah.

Empat penduduk di Ehime, Hiroshima dan Yamaguchi dilaporkan kritikal selepas cedera dalam kejadian tanah runtuh.

Kebimbangan terhadap ancaman banjir dan tanah runtuh berterusan mendorong pihak berkuasa mengarahkan lebih 1.6 juta penduduk berpindah manakala 31 juta lagi dinasihatkan berbuat demikian. - Reuters

Berita Harian X