Rabu, 18 Julai 2018 | 10:15am
BENCANA Fukushima menyebabkan permintaan berkurangan terhadap bahan api untuk loji janakuasa nuklear lain tetapi stok plutonium Jepun semakin meningkat. - Foto AFP

Simpanan plutonium Jepun cetus kebimbangan

TOKYO: Jepun mengumpul bekalan plutonium mencukupi untuk membuat 6,000 bom atom sebagai sebahagian program menghidupkan loji jana kuasa nuklearnya, namun kini wujud kebimbangan meningkat, simpanan itu boleh terdedah kepada pengganas dan bencana semula jadi.

Jepun sekian lama menjadi satu-satunya negara bukan bersenjata nuklear di dunia memiliki program memproses semula bahan api nuklear daripada loji jana kuasa kepada plutonium.

Satu perjanjian berdekad lamanya dengan Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan Jepun memproses semula plutonium diperbaharui semalam, namun pakatan itu boleh dimansuhkan setiap pihak hanya dengan notis enam bulan.

Pemprosesan semula plutonium bermaksud mewujudkan sumber bahan api baharu dan bebas pelepasan untuk menjana tenaga di Jepun yang tiada sumber, namun saiz simpanannya mula menarik kritikan, walaupun daripada sekutunya.

Plutonium boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear. Walaupun Jepun berikrar bahan itu tidak akan digunakan untuk tujuan ketenteraan, ia kini mengumpul sejumlah besar plutonium yang boleh digunakan, oleh kerana kebanyakan loji jana kuasa nuklearnya masih terhenti selepas bencana Fukushima 2011.

Pakar memberi amaran, peningkatan simpanan itu boleh berbahaya dalam kes bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami yang menyebabkan peleburan Fukushima selain menyasar menarik pengganas.

Mereka juga bimbang, simpanan itu mungkin menggalakkan kuasa serantau lain termasuk China, memberi tekanan untuk satu keupayaan pemprosesan semula, meningkatkan jumlah plutonium dijadikan senjata di Asia.

Sesetengah juga malah memberi amaran, simpanan itu mendorong Korea Utara memberi alasan mengelak gencatan senjata.

Bulan ini kerajaan Jepun berikrar buat kali pertama 'untuk menangani satu pengurangan simpanan plutonium' namun tidak memberi pelan tindakan bagaimana melakukannya.

Suruhanjaya Tenaga Atom Jepun melaporkan pelan mengehadkan sendiri rizab yang kini kekal 10 tan dalam negara dengan tambahan 37 tan lagi di Britain dan Perancis untuk pemprosesan semula. -AFP

Berita Harian X