Selasa, 24 Julai 2018 | 5:26pm
STESEN Pelancaran Satelit Sohae. - Foto EPA

Pyongyang mula roboh tapak ujian roket: penganalisis

SEOUL: Korea Utara mula merobohkan beberapa kemudahan di stesen pelancaran satelit utamanya, dilihat sebagai tapak ujian peluru berpandu balistik antara benua, menurut analisis pakar terhadap imej satelit terbaharu.

Jika disahkan, analisis oleh laman web berpusat di Amerika Syarikat (AS), 38 North, mungkin memberi isyarat satu langkah ke depan selepas pertemuan bersejarah bulan lalu antara Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump, walaupun sesetengah pakar mempersoalkan keberertian isyarat itu.

Selepas pertemuan itu, Trump mengisytiharkan ancaman nuklear Korea Utara berakhir dan laporan media AS mengatakan, beliau secara peribadi amat berang berhubung ketiadaan sebarang kemajuan berikutnya berkaitan isu gencatan senjata nuklear.

Bagaimanapun Trump kekal yakin dan analisis 38 North dibuat ketika Presiden AS itu mengumumkan dirinya 'sangat gembira' dengan cara rundingan berkembang bersama Pyongyang.

Laman web itu berkata, imej dirakam menunjukkan Pyongyang mula merobohkan dinding pemprosesan dan penyangga enjin roket ujian yang digunakan untuk menguji enjin bahan api cecair di Stesen Pelancaran Satelit Sohae.

Sohae, terletak di pantai barat laut Korea Utara, jelasnya kemudahan direka untuk meletakkan satelit ke orbit, namun enjin roket dengan mudahnya digunakan semula bagi kegunaan peluru berpandu dan masyarakat antarabangsa melabel program angkasa lepas Pyongyang sebagai pemangkin kepada ujian senjatanya.

Penganalisis 38 North, Joseph Bermudez menyifatkan tindakan itu sebagai 'langkah penting pertama' buat Jong-un dalam memenuhi janji yang dikatakan Trump dibuat ketika pertemuan di Singapura Jun lalu.

"Oleh kerana Sohae dipercayai memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi untuk program peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara, usaha ini mewakili langkah ketara membina keyakinan di pihak Pyongyang," kata Bermudez.

Trump berkata di Singapura, Jong-un komited memusnahkan tapak ujian enjin peluru berpandu utamanya tanpa mengkhususkan di mana.

Sohae menjadi tapak pelancaran roket utama Pyongyang sejak 2012 dan Korea Selatan, yang mana Presidennya, Moon Jae-in menjadi orang tengah pertemuan bersejarah antara Trump dan Jong-un, menggelarnya langkah ke hadapan ke arah gencatan senjata nuklear.

"Ia adalah tanda lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Saya percaya, mereka melangkah secara berperingkat ke arah gencatan senjata nuklear," kata tumbalan pengarah pejabat keselamatan presiden, Nam Gwan-pyo.

Seorang sekutu kanan penyelidikan dengan Pusat Kajian Pencegahan Senjata James Martin di Monterey, AS, Melissa Hanham berkata, ketika perobohan tapak ujian enjin adalah 'langkah yang bagus,' ia bersamaan 'tindakan amat minimum' yang boleh dilakukan di Sohae.

"Kecuali mereka merobohkan keseluruhan tapak itu, ia masih menjadi lokasi utama Korea Utara untuk pelancaran angkasa lepas," kata Hanham di Twitter. -AFP

Berita Harian X