Rabu, 5 September 2018 | 8:35pm
LEPTOSPIROSIS berjangkit menerusi air kencing tikus, gejala yang termasuk sakit otot dan demam. - Foto AFP
LEPTOSPIROSIS berjangkit menerusi air kencing tikus, gejala yang termasuk sakit otot dan demam. - Foto AFP

Kerala alami peningkatan jangkitan kencing tikus

NEW DELHI: Negeri dilanda banjir di India, Kerala berdepan kekurangan bekalan ubat untuk melawan jangkitan penyakit kencing tikus selepas banjir terburuk sejak sekurun lalu, memaksa pihak berkuasa mendapatkan bekalan daripada negeri lain.

Kes disyaki leptospirosis, penyakit berjangkit bawaan air dikenali di peringkat tempatan sebagai ‘demam tikus’, meningkat kepada 800 orang sejak pertengahan Ogos lalu, kata jurucakap Kementerian Kesihatan.

Leptospirosis berjangkit menerusi air kencing tikus, gejala yang termasuk sakit otot dan demam.

Kematian disahkan akibat leptospirosis setakat ini berjumlah 12 orang manakala kematian disyaki, sementara menunggu laporan perubatan sebanyak 41 orang, kata jurucakap.

Peningkatan kes itu berlaku selepas hujan lebat sejak 8 Ogos lalu membanjiri hampir keseluruhan Kerala, mengorbankan ratusan penduduk, memusnahkan ribuan rumah serta menyebabkan kerugian akibat kerosakan sekurang-kurangnya 200 bilion rupee (RM11.67 bilion).

Daerah Kozhikode di negeri selatan, antara yang teruk terjejas akibat demam tikus itu berdepan kekurangan bekalan ketika permintaan ubat bagi mencegah penyakit itu meningkat, susulan kematian terbaharu.

Pegawai kesihatan, R S Gopakumar berkata, Kozhikode memerlukan kira-kira tiga juta pil untuk dua bulan berikutnya, namun ketika ini memiliki hanya 500,000 bekalan.

“Kami mendapat bekalan, namun ia berkurangan dengan cepat,” kata Gopakumar ketika lebih ramai penduduk memerlukan pil pencegahan, perlu diambil seminggu sekali selama sebulan.

Gopakumar berkata, kerajaan negeri meminta bantuan daripada Maharashtra, Tamil Nadu dan Karnataka. -Reuters

Berita Harian X