Selasa, 18 September 2018 | 7:00pm
BANGLADESH akan mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil mulai bulan depan. - Foto AFP
BANGLADESH akan mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil mulai bulan depan. - Foto AFP

Bangladesh pindah Rohingya ke Bhashan Char bulan depan

DHAKA: Bangladesh akan mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil mulai bulan depan, kata pihak berkuasa hari ini, walaupun amaran kawasan berkelodak itu terdedah kepada cuaca ganas.

Perdana Menteri Sheikh Hasina dijadualkan merasmikan pusat perlindungan baharu dibina 3 Oktober ini untuk pelarian Islam yang hilang tempat tinggal di Bhashan Char, pulau berlumpur yang muncul dari Teluk Bengal pada 2006.

Pelan kontroversi sudah terlewat berbanding dijadualkan. Pihak berkuasa sebelum ini berkata, mereka mahu memindahkan pelarian dari kem penuh sesak berhampiran sempadan dengan Myanmar ke pulau itu Jun lalu, sebelum musim monsun bermula.

Tentera laut mempercepatkan pembinaan pusat perlindungan dan pemindahan untuk 100,000 pelarian serta hampir tiga perempat daripada projek itu selesai, kata seorang pegawai pengurusan bencana kepada AFP.

“Pada mulanya, antara 50 hingga 60 keluarga Rohingya akan ditempatkan dalam fasa pertama bermula bulan depan,” kata pegawai berkenaan, Habibul Kabir Chowdhury.

Bangladesh, sebuah negara tanah rendah terletak di tepi sungai terdedah kepada paras meningkat air laut, sering mengalami siklon tropika, terutama di Teluk Bengal antara April dan November.

Ratusan ribu orang maut akibat bencana alam sejak 50 tahun lalu, kebanyakannya di kawasan tepi pantai berhampiran Bhashan Char.

Pulau itu terletak sejam perjalanan menaiki bot dari kawasan tanah berhampiran namun ribut ganas menjadikan perjalanan melalui laut berbahaya atau kadang kala mustahil.

Pelan menempatkan semula pelarian ke sana dihidupkan selepas 700,000 Muslim Rohingya, yang lari daripada tindakan keras di Myanmar Ogos tahun lalu, berpusu-pusu memasuki tenggara Bangladesh dan menyesakkan kem pelarian sedia ada.

Kumpulan hak asasi memberi amaran, pulau berkelodak itu tidak sesuai dihuni serta terdedah banjir dan bencana alam lain serta menggesa Bangladesh melupakan hasrat itu.

Namun kerajaan melabur AS$280 juta (RM1.16 bilion) November lalu untuk menukarnya ke tapak boleh dihuni.

Seorang pegawai tentera laut berkata, satu tembok setinggi tiga meter didirikan di sekitar seluruh pulau untuk menjadikannya rintangan banjir. -AFP

Berita Harian X