Rabu, 19 September 2018 | 6:14pm
PRESIDEN Donald Trump. - Foto EPA

China nafi campur tangan pilihan raya AS

BEIJING: China menafikan dakwaan Presiden Donald Trump bahawa ia campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu.

Ulasan itu dibuat selepas Trump menulis siri tweet semalam mendakwa tindakan Beijing mengenakan tindak balas duti import ke atas barangan Amerika Syarikat bertujuan mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal kongres.

Namun jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, menolak dakwaan itu, berkata: “Sesiapa yang biasa dengan diplomasi China pasti tahu kami tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

“Kami tidak mahu orang lain campur tangan dalam politik domestik kami, dan kami juga tidak berbuat begitu dalam politik domestik negara lain,” kata Geng pada taklimat akhbar.

Kelmarin, AS mengumumkan ia meneruskan mengenakan tarif AS$200 bilion (RM828 bilion) kepada barangan China, selain AS$50 bilion (RM207 bilion) yang sudah disasarkan.

Selepas China bertindak balas semalam mengenakan duti AS$60 bilion (RM248 bilion) ke atas produk AS, Trump menuduh Beijing cuba mempengaruhi pilihan raya.

“China secara terbuka menyatakan mereka secara aktif cuba mengubah pilihan raya dengan menyerang petani, peladang dan pekerja industri kerana kesetiaan mereka kepada saya,” menurut tweet Trump.

Tuduhan campur tangan pilihan raya amat sensitif di AS, memandangkan dakwaan Russia turut campur tangan untuk menyokong Trump pada pilihan raya presiden 2016. — AFP

Berita Harian X