Ahad, 30 September 2018 | 6:51pm
PIHAK berkuasa Jepun terpaksa membatalkan perkhidmatan penerbangan dan kereta api selepas sebuah taufan kuat kini dalam perjalanan ke pulau utama negara itu. - Foto Reuters

60 cedera akibat taufan Trami di Jepun

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun terpaksa membatalkan perkhidmatan penerbangan dan kereta api, hari ini, selepas sebuah taufan kuat kini dalam perjalanan ke pulau utama negara itu.

Taufan itu sebelum ini mengakibatkan bekalan elektrik putus dan pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan yang masih pulih daripada taufan lain, bulan lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka, barat Jepun menutup landasannya mulai 11.00 pagi waktu tempatan, hari ini sehingga 6.00 pagi, esok.

Pelbagai syarikat penerbangan membatalkan lebih 1,100 penerbangan, kata stesen televisyen kerajaan NHK. Kebanyakan kereta api tempatan dan kereta api laju di kawasan tengah dan barat negara itu turut menggantung operasi.

Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran dan arahan pemindahan kepada 700,000 isi rumah di selatan dan barat Jepun. Di wilayah Okinawa dan Kagoshima, lebih 300,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.

NHK berkata, kira-kira 60 mangsa cedera di kedua-dua wilayah itu. Seorang wanita berusia 60-an hilang di Miyazaki, selatan Jepun, selepas dihanyutkan dalam tali air padi, katanya.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tanah runtuh dan banjir akibat peningkatan lonjakan tekanan udara akibat ribut.

Taufan Trami ditarafkan sebagai ribut tropika kategori dua, ia kini menghala ke timur laut Jepun. Ia akan merentasi pulau Kyushu dan pulau utama Honshu pada hari ini dan esok. - Reuters

Berita Harian X