Rabu, 14 November 2018 | 10:37pm
KEM Hla Phoe Khaung adalah penempatan transit untuk pelarian Rohingya di Maungdaw, Rakhine, Myanmar. - Foto fail Reuters
KEM Hla Phoe Khaung adalah penempatan transit untuk pelarian Rohingya di Maungdaw, Rakhine, Myanmar. - Foto fail Reuters

150 Rohingya dihantar pulang ke Myanmar esok

COX’S BAZAR: Seramai 150 pelarian Rohingya dijangka dihantar pulang ke Myanmar pada hari pertama proses berkenaan, yang dijadualkan bermula esok.

Walaupun proses penghantaran itu dibantah keras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bangladesh yakin proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Kerajaan Bangladesh berkata, proses berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan kumpulan pertama seramai 2,260 pelarian.

Sementara itu, menurut pemimpin etnik Rohingya, kehadiran tentera di beberapa kem penempatan sementara di Bangladesh, dilapor menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelarian.

Ketika ini, pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk menghantar pelarian Rohingya pulang ke Myanmar.

Malah, sebahagian besar pelarian meluahkan kebimbangan mereka untuk pulang ke Myanmar, selepas pasukan penyiasat PBB mendakwa etnik Rohingya menjadi sasaran kempen pembunuhan beramai-ramai oleh pihak tentera.

Bangladesh berkata, proses itu hanya membabitkan mereka yang sukarela kembali ke Myanmar, tetapi ketua hak asasi PBB mendakwa kebanyakan pelarian khuatir kemungkinan dihantar pulang tanpa kerelaan.

Malah, pemimpin masyarakat dan pelarian memberitahu AFP, beberapa keluarga yang tersenarai untuk dihantar pulang, sudah melarikan diri dan bersembunyi di kawasan bukit-bukau, yang menjadi lokasi perlindungan lebih 720,000 Rohingya.

“Jumlah anggota tentera serta polis di kem semakin bertambah dan mereka memeriksa kad pengenalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan pelarian menjelang tibanya tarikh penghantaran pulang,” kata pemimpin pelarian kepada AFP. - AFP

Berita Harian X