Rabu, 12 Disember 2018 | 7:03pm
Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Konsep Islam Hadhari diperluaskan ke Taiwan dan Sepanyol

KYOTO (JEPUN): Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, terus diperkasakan di Jepun dan diperluaskan ke rantau Asia serta Eropah.

Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), Datuk Jefridin Atan, berkata amalan konsep Islam Hadhari semakin meluas di Jepun sejak diperkenalkan 10 tahun lalu.

"Kini tiba masanya LEGASI memperkenalkan konsep itu di negara yang berminat seperti Taiwan dan Sepanyol. Kami cadang ia dilancarkan tahun depan," katanya ketika Simposium Antarabangsa University Kyoto: Inisiatif Jepun-Malaysia dalam Paradigma Baru Asia-Islam di sini, semalam.

Simposium tiga hari anjuran bersama LEGASI dengan universiti itu berlangsung selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Malaysia dan Jepun memulakan kerjasama konsep Islam Hadari melalui Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pusat Pengajian Asia dan Afrika, Kyoto (University KU) pada 2008.

Kerjasama diperkukuhkan dengan penubuhan Hadhari Global Network (HGN). Ia berperanan menjalin kerjasama dengan pihak lain seperti tokoh akademik, institusi pengajian tinggi, agensi dan pembuat dasar di seluruh dunia dalam usaha memartabatkan Islam yang bertamadun.

Jefridin berkata, LEGASI selaku sekretariat HGN meluaskan kerjasama dengan Taiwan dan Sepanyol kerana mereka menunjukkan minat untuk mendalami Islam Hadhari secara lebih terperinci.


Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seramai 17 ahli akademik termasuk empat dari KU membentangkan kertas kerja. Pembentang mewakili Malaysia, antaranya Dr Muhammad Hakimi Mohd Shafiai dari LEGASI yang membentangkan kertas kerja bertajuk Potensi Pendanaan Berasaskan Wakaf dalam Pembiayaan Bantuan Kemanusiaan.

Dr Muhammad Hakimi memilih topik wakaf memandangkan bencana alam yang sering berlaku memerlukan peruntukan besar bagi membantu mangsa serta membangunkan semula ekonomi negara yang ditimpa musibah, khususnya negara Islam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan dana yang dikutip melalui wakaf dari serata dunia melalui teknologi internet perlu diperkenalkan dalam usaha pembangunan ummah dan negara.

Seorang lagi pembentang kertas kerja pada simposium yang dihadiri 70 ahli akademik itu ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Kelestarian Tamadun: Penjagaan Alam Sekitar dalam Konteks Pegangan dan Pengamalan Agama.

Dr Azizan menekankan pentingnya pengajian agama dan ketuhanan di mana manusia sebagai khalifah di muka bumi perlu menjaga serta memastikan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Peradaban Islam KU, Prof Dr Kosugi Yasushi, yang juga penggerak utama HGN di Jepun, berkata negara bukan Islam juga perlu melaksanakan konsep Islam Hadhari, terutama berkaitan industri halal yang tidak hanya terhad kepada industri makanan semata-mata.

Berita Harian X