Rabu, 2 Januari 2019 | 2:22pm
MAHARAJA Akihito (lima dari kiri) dan ahli keluarga diraja menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baru di Tokyo. - Foto AFP

Ribuan saksi ucapan Tahun Baharu terakhir Akihito

TOKYO: Maharaja Akihito menyampaikan ucapan Tahun Baharu terakhirnya hari ini sebelum turun takhta beberapa bulan lagi dengan memberitahu warga Jepun yang hadir bahawa beliau mendoakan keamanan kepada semua.

Istana Diraja menyatakan, lebih 72,000 orang membanjiri kawasan tempat tinggal keluarga diraja itu pada sebelah pagi saja dan ribuan lagi tiba selepas itu untuk melihat Akihito, 85, memberi ucapan Tahun Baharu buat kali terakhir.

Akihito akan menjadi maharaja pertama Jepun turun takhta pada 30 April depan, kali pertama ia berlaku dalam tempoh dua abad, yang menamatkan tempoh tiga dekad baginda bertakhta.

“Saya sejujurnya gembira untuk menyambut Tahun Baharu bersama kamu semua,” katanya kepada ribuan yang hadir dengan ramai mengibar bendera Jepun dan menjerit ‘Banzai’ atau moga panjang umur.

“Saya doakan keamanan dan kemakmuran kepada semua penduduk negara ini dan juga dunia,” kata Akihito lagi diiringi Maharani Michiko di sebelahnya dan anggota keluarga lain.

Akihito menyampaikan ucapan ringkas Tahun Baharu setiap tahun dan dijangka membuat lima lagi kemunculan pada hari ini.

Ada di kalangan yang hadir menjerit ‘jutaan terima kasih’ ketika Akihito melambai ke arah mereka manakala orang lain menyanyikan lagu kebangsaan.

Seorang wanita yang berada di baris depan dilihat menitiskan air mata ketika dia memandang ke arah Akihito. - AFP

Berita Harian X