Sabtu, 5 Januari 2019 | 1:51pm
BEKAS timbalan duta Korea Utara ke Britain, Thae Yong-ho. - Foto EPA

Bekas diplomat Pyongyang gesa rakan berpaling tadah ke Seoul

SEOUL: Bekas diplomat Korea Utara yang berpaling tadah ke Korea Selatan menggesa rakannya yang menghilangkan diri di Itali, supaya mengikut jejak langkahnya, selepas beliau dilaporkan memohon suaka di Amerika Syarikat.

Menurut pegawai Korea Selatan, Jo Song-gil, 44, iaitu pemangku Duta Korea Utara ke Itali dan isterinya, dilapor meninggalkan bangunan kedutaan negara itu pada awal November lalu tanpa sebarang notis.

“Song-gil dilapor mengemukakan permohonan suaka di Amerika Syarikat dan dipercayai beliau kini dilindungi pasukan perisikan Itali,” lapor akhbar tempatan Itali, La Repubblica yang memetik sumber diplomatik.

Jabatan Negara dan Kedutaan Amerika Syarikat di Seoul tidak mengulas lanjut laporan itu ketika dihubungi Reuters.

Bekas timbalan duta Korea Utara ke Britain, Thae Yong-ho dalam satu surat terbuka, berkata beliau menuntut di universiti yang sama dengan Song-gil dan bekerja dengannya sebelum berpaling tadah ke Korea Selatan pada 2016.

Justeru, Yong-ho meminta Song-gil mengikut jejak langkahnya.

“Keputusan berpaling tadah kepada Korea Selatan adalah satu kewajipan dan bukannya pilihan kepada diplomat Korea Utara yang komited kepada penyatuan,” kata Yong-ho yang menegaskan bahawa Seoul adalah ‘tempat perlindungan’ bagi tujuan itu.

Dalam surat yang dimuat naik di laman webnya, Yong-ho berkata: “Jika anda datang ke Korea Selatan, akan tiba harinya, rakan kita dan rakyat Korea Utara bakal dibebaskan daripada belenggu untuk meneruskan kehidupan.

“Jika anda datang ke Seoul, lebih ramai rakan kita akan mengikut jejak langkah ini dan proses penyatuan akan berlaku dengan sendirinya”.

Yong-ho berkata, Korea Selatan mungkin tidak menjanjikan kebahagiaan yang diinginkan tetapi ia adalah lokasi yang membolehkan Song-gil mencapai impiannya.

Beliau berkata, penyatuan antara Korea Utara dan Korea Selatan adalah perkara yang ingin dilihat berlaku dalam kalangan 32,000 warga Pyongyang yang sudah berpaling tadah ke Seoul.

“Mereka yang berpaling tadah mungkin tidak akan memperoleh kekayaan seperti yang dimiliki oleh rakyat Korea Selatan, tetapi ia bukanlah perkara yang menjadi keutamaan kamu dan saya, sebagai diplomat Korea Utara harus lakukan sepanjang hidup kita.

“Kita perlu berusaha untuk menyatukan kedua-dua negara supaya anak-anak kita dapat mewarisinya,” katanya. - Reuters

Berita Harian X