Ahad, 13 Januari 2019 | 11:06pm
 Seorang pelajar wanita disingkir dari Universiti Al-Azhar selepas dirakam memeluk teman lelakinya. Foto hiasan
Seorang pelajar wanita disingkir dari Universiti Al-Azhar selepas dirakam memeluk teman lelakinya. Foto hiasan

Al-Azhar buang pelajar wanita peluk lelaki

KAHERAH: Universiti Al-Azhar hari ini, menyingkir seorang pelajar wanita selepas beliau kelihatan dalam video memeluk rakan lelakinya, selepas disifatkan menjejaskan reputasi sekolah itu.

Video itu, yang tular awal bulan ini, menunjukkan seorang pemuda membawa jambangan bunga sedang melutut di hadapan seorang wanita muda dan kemudian memeluk beliau dalam apa yang kelihatan seperti satu lamaran perkahwinan.

Video itu tidak dirakamkan di Al-Azhar tetapi di sebuah institusi lain, iaitu Universiti Mansoura di utara Mesir.

Bagaimanapun, jurucakap universiti, Ahmed Zarie, berkata, majlis disiplin kampus Universiti Al-Azhar di Mansoura semalam, ‘memutuskan untuk menyingkirkan gadis berkenaan’.

Katanya, video itu menyebabkan ‘kemarahan awam’ dan keputusan universiti menyingkirkan beliau adalah kerana gadis itu memberikan ‘imej buruk’ kepada Universiti Al-Azhar, yang secara tegas mengamalkan pengasingan jantina.

Beliau berkata, perbuatan berpeluk antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin adalah melanggar nilai dan prinsip masyarakat.

“Wanita berkenaan, bagaimanapun masih boleh merayu keputusan penyingkiran berkenaan”, kata Zarie.

Sementara itu, jurucakap Universiti Mansoura berkata, pemuda yang turut dirakamkan di dalam video itu juga berhadapan sekatan, dan memaklumkan majlis disiplin akan bermesyuarat Isnin ini untuk memutuskan ‘hukuman’ ke atasnya. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X