Khamis, 24 Januari 2019 | 7:39am
Kim Jong-un (kiri) bertemu dengan anggota delegasi yang mengunjungi Amerika Syarikat di Pyongyang, Korea Utara. Foto Reuters
Kim Jong-un (kiri) bertemu dengan anggota delegasi yang mengunjungi Amerika Syarikat di Pyongyang, Korea Utara. Foto Reuters

Kim Jong-un gembira terima surat dari Trump

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan berasa sangat gembira selepas menerima sepucuk surat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menjelang pertemuan kedua antara mereka, tidak lama lagi.

“Kim (Jong-un) sudah membuat persiapan teknikal dengan sebaik-baiknya bagi menghadiri mesyuarat itu,” lapor agensi berita rasmi KCNA.

Surat daripada Trump itu diserahkan kepada Jong-un oleh naib pengerusi Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea, Kim Yong-chol, yang juga orang kanan pemimpin Korea Utara itu.

Yong-chol bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat itu di Rumah Putih minggu lalu.

“Kim (Jong-un) amat memandang tinggi Presiden Trump yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pelbagai isu, dalam sidang kemuncak kedua antara Republik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara) dan Amerika Syarikat,” lapor KCNA.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu buat kali pertama di Singapura pada Jun lalu, dan pada sidang kemuncak itu Trump serta Jong-un menandatangani dokumen, yang menyatakan ikrar Korea Utara untuk menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea.

Sabtu lalu, Trump dilaporkan berkata, lokasi sidang kemuncak sudah diketahui, namun enggan memberikan butiran lanjut, manakala Rumah Putih mengesahkan bahawa ia bakal berlangsung bulan depan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X