Jumaat, 22 Februari 2019 | 11:51pm
PUTERA Naruhito. - Foto AFP

Putera Naruhito janji kekal rapat dengan rakyat

TOKYO: Bakal Maharaja Jepun, Putera Naruhito, berjanji akan mengekalkan hubungan rapat istana dengan rakyat ketika beliau bersiap sedia mewarisi takhta dalam masa dua bulan lagi.

Pada sidang akhbar awal minggu ini sempena ulang tahun kelahirannya ke-59, Naruhito, juga meminta rakyat memantau pemulihan isterinya, Puteri Mahkota Masako, yang bergelut dengan penyakit berkaitan tekanan selama bertahun-tahun.

“Apabila memikirkan mengenai masa akan datang, saya berasa sesuatu.

“Seperti yang dilakukan Maharaja dan Maharani, saya harap akan selalu rapat dengan rakyat dan berkongsi kegembiraan dan kesedihan untuk memenuhi tugas sebagai simbol negara,” katanya pada sidang akhbar, yang disiarkan esok.

Maharaja Akihito dan Maharani Michiko akan turun takhta pada 30 April ini selepas tiga dekad, membuka jalan kepada Naruhito dan Masako menggantikan mereka.

Status Maharaja adalah sensitif di Jepun memandangkan sejarah perang pada abad ke-20 negara itu yang dilancarkan atas nama bapa Akihito, Hirohita, yang meninggal dunia pada 1989.

Akihito memodenkan keluarga diraja dan melanjutkan peranannya dengan melawat ke seluruh Jepun, untuk bertemu mangsa bencana alam dan mengunjungi lokasi yang terjejas akibat Perang Dunia Kedua.

Naruhito berkata, beliau akan mengikut jejak langkah bapanya, sambil mencari jalan sendiri untuk terbuka kepada perubahan masa. - AFP

Berita Harian X