Sabtu, 23 Februari 2019 | 5:47pm
Aktivis parti Persidangan Nasional, satu daripada parti pro-India, melaungkan slogan ketika membantah serangan penduduk Kashmir di luar negeri itu. -Foto Reuters
Aktivis parti Persidangan Nasional, satu daripada parti pro-India, melaungkan slogan ketika membantah serangan penduduk Kashmir di luar negeri itu. -Foto Reuters

Lebih 100 pemisah Kashmir ditahan

SRINAGAR/NEW DELHI: Lebih 100 pemisah di Kashmir ditahan dalam serbuan waktu malam, kata pegawai polis hari ini sebagai sebahagian tindakan keras ke atas kumpulan yang mungkin mencetuskan masalah sebelum pilihan raya dijangka diadakan Mei ini.

Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas serangan pengebom kereta mengorbankan lebih 40 anggota tentera separa India 14 Februari lalu. Kerajaan India memberi amaran, ia akan menggunakan semua pilihan kuasanya untuk membalas dendam dalam serangan didakwa dilakukan kumpulan militan berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammed.

“Ketibaan lebih banyak askar dan penahanan pemimpin serta aktivis kumpulan pemisah adalah sebahagian latihan pilihan raya diambil bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil,” kata seorang pegawai kanan polis di negeri itu.

Parti Perdana Menteri Narendra Modi, Bharatiya Janata (BJP), dijangka dipilih semula dalam undian seluruh negara Mei ini.

“Jurukempen anti-pilihan raya tidak akan dibenarkan dan pemisah akan ditahan bagi memastikan pilihan raya bebas, adil dan telus di negeri itu,” kata pegawai polis.

Serangan minggu lalu turut mencetuskan ketegangan antara jiran India, Pakistan, yang menuntut Kashmir sepenuhnya namun mentadbir sebahagian wilayah itu.

Serbuan waktu malam termasuk ramai anggota kanan Jamaat-e-Islami (Jel), pertubuhan Islam yang mahu Kashmir dibebaskan daripada India.

Penahanan itu menjurus bantahan ganas di sebahagian Kashmir dengan penunjuk perasaan membaling batu dibalas dengan gas pemedih mata.

Pemimpin Jel, Dr Abdul Hamid Fayaz dan Yasin Malik, ketua Barisan Hadapan Jammu Kashmir (JKLF) yang mahu Kashmir merdeka daripada India dan Pakistan, antara yang ditahan. -AFP

Berita Harian X