Jumaat, 22 March 2019 | 11:49am
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran susulan letupan kilang pestisid di Yancheng, timur Jiangsu, China hari ini. -Foto AFP

Terkini - 47 maut, 640 cedera letupan kilang pestisid China

SHANGHAI: Satu letupan kilang pestisid di timur China mengorbankan 47 orang dan mencederakan lebih 600 lain, kata media tempatan hari ini, angka terbaharu dalam siri nahas industri yang menaikkan kemarahan orang awam.

Letupan berlaku semalam di Taman Perindustrian Chenjiagang di Yancheng, wilayah Jiangsu dan kebakaran akhirnya dikawal jam 3 pagi waktu tempatan hari ini, kata televisyen tempatan.

Mangsa terselamat dibawa ke 16 hospital dengan 640 orang dirawat akibat cedera manakala 32 lain parah, katanya.

Kebakaran kilang milik Tianjiayi Chemical Company merebak ke kilang berhampiran. Media melaporkan, kanak-kanak di sebuah tadika berhampiran turut cedera dalam letupan itu.

Punca letupan disiasat namun syarikat terbabit yang menghasilkan lebih 30 sebatian kimia organik, sesetengahnya amat mudah terbakar, didenda kerana pelanggaran keselamatan pada masa lalu, kata China Daily.

Presiden China, Xi Jinping, yang berada di Itali untuk lawatan rasmi mengarahkan semua usaha merawat mangsa yang cedera dan mengekalkan kestabilan sosial, kata televisyen tempatan.

Jinping menambah, pihak berkuasa perlu mempertingkat tindakan menghalang insiden seperti itu daripada berlaku dan mencari punca letupan seberapa segera.

Biro perlindungan alam sekitar Jiangsu berkata lewat semalam dalam satu kenyataan, stesen pemantauan alam sekitar dalam kawasan itu tidak menemui kepekatan luar biasa bahan kimia toluena, xylena atau benzena.

Kepekatan aseton dan kloforom di luar perimeter zon letupan juga berada dala had normal, tambahnya.

Jiangsu akan melancarkan pemeriksaan terhadap pengeluar kimia dan gudang terbabit, menurut satu notis kecemasan diterbitkan media rasmi hari ini. -Reuters

Berita Harian X