Sabtu, 23 March 2019 | 10:54am

26 maut bas terbakar di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan 30 lagi cedera apabila sebuah bas pelancong yang mereka naiki terbakar di tengah China, kata pihak berkuasa tempatan.

Menurut pihak berkuasa, kenderaan yang membawa 56 penumpang termasuk dua pemandu dan seorang pemandu pelancong itu mula terbakar ketika dalam perjalanan di wilayah Hunan.

Lima daripada penumpang yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kenyataan seorang pegawai yang dikongsi di laman media sosial Weibo mendedahkan, dua pemandu bas terbabit ditahan untuk disiasat berhubung punca kemalangan terbabit.

Kemalangan kenderaan secara umum adalah sesuatu yang biasa berlaku di China dan pihak berkuasa pengangkutan berusaha menguatkuasakan undang-undang keselamatan yang kerap dilanggar.

Seramai 58,000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara itu pada 2015. - AFP

Berita Harian X