Isnin, 25 March 2019 | 6:20pm
KEADAAN bangunan yang musnah susulan letupan kilang bahan kimia di bandar Yancheng, wilayah Jiangsu, timur China. - Foto AFP

Korban letupan kilang China sudah 78 orang

BEIJING: Jumlah kematian akibat letupan sebuah kilang bahan kimia di China meningkat kepada 78 orang, hari ini, dengan ratusan mangsa lain masih menerima rawatan, empat hari selepas kemalangan industri antara yang terburuk di negara itu.

Letupan di bandar Yancheng, wilayah Jiangsu, timur China, Khamis lalu memusnahkan sebuah taman perindustrian dan sehingga menyebabkan tingkap banyak rumah di sekelilingnya pecah.

Lebih 500 orang masih di hospital, kata pihak berkuasa tempatan menerusi akaun media sosial ala Twitter, Weibo. Menurut kenyataan itu lagi, 13 orang dalam keadaan kritikal sementara 66 lagi cedera serius.

Beberapa pegawai perbandaran berkata, daripada 28 orang yang dilaporkan hilang, Sabtu lalu, 25 mangsa ditemui maut dan tiga berjaya diselamatkan.

Kerajaan bandar itu berkata, kira-kira 89 kediaman rosak sehingga tidak boleh dibaik pulih dan penduduk sedang dipindahkan, selepas semua struktur berhampiran dimusnahkan. - AFP

Berita Harian X