Selasa, 2 April 2019 | 7:52pm
Guterres (kanan) membuat ucapan susulan pertemuannya dengan Imam Besar Al-Azhar, Ahmed al-Tayeb. Beliau dijadualkan bertemu al-Sisi selepas itu. -Foto AFP

Guterres beri amaran peningkatan kebencian anti-Islam

KAHERAH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran hari ini berikutan meningkatnya insiden kebencian terhadap umat Islam, kurang sebulan selepas serangan kejam di dua masjid New Zealand mengorbankan 50 orang.

Kenyataan beliau dibuat ketika berucap di Masjid Al-Azhar, Mesir, institusi keagamaan Sunnah paling disegani di dunia serta bertemu Imam Besarnya, Ahmed al-Tayeb.

“Di seluruh dunia, kita menyaksikan peningkatan kebencian berterusan anti-Islam, anti-Yahudi, perkauman dan xenofobia,” katanya.

Beliau memetik serangan masjid New Zealand 15 Mac lalu oleh pengganas kulit putih warga Australia serta kejadian tembakan rumah ibadat Yahudi di Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan 11 orang.

Guterres memberi amaran berhubung peningkatan ucapan kebencian yang dikatakannya ‘tersebar seperti api marak menerusi aliran utama media sosial.’

“Kita menyaksikannya merebak dalam demokrasi liberal serta di negara autoritarian,” katanya ketika lawatan dua hari ke Mesir. Selepas melawat Al-Azhar, beliau dijadualkan bertemu Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Kelmarin, beliau menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di Tunisia. -AFP

Berita Harian X