Ahad, 7 April 2019 | 2:54pm
Ujian peluru berpandu anti-satelit India. - Foto PIB India

Serpihan satelit tidak bahayakan ISS - India

NEW DELHI: India menegaskan serpihan satelit susulan ujian peluru berpandu anti-satelit negara itu tidak mendatangkan bahaya kepada Stesen Angka Lepas Antarabangsa (ISS).

Ia sebagai menjawab kritikan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA), baru-baru ini.

India terus mempertahankan tindakan itu susulan ujian pada 27 Mac lalu yang disifatkan NASA sebagai ‘perkara paling teruk’ yang mampu mencetus bahaya baru kepada angkasawan yang berada di ISS.

“Misi itu dirancang mengikut sifat serpihan berkenaan yang sangat cepat mereput dan hanya sebilangan kecil saja yang akan naik,” kata ketua Kajian Pertahanan dan Pertubuhan Pembangunan, G Satheesh Reddy, kepada wartawan.

“Memang wujud risiko selama 10 hari dan kami berjaya melepasi tempoh itu,” katanya pada sidang akhbar.

“Mengikut simulasi kami, tidak mungkin serpihan satelit itu akan menghentam ISS,” katanya.

Minggu lalu, Ketua NASA, Jim Bridenstine mengutuk pemusnahan satelit India menyifatkannya sebagai ‘perkara paling teruk’ yang menghasilkan 400 serpihan orbital atau ‘sisa angkasa lepas’.

Sisa angkasa lepas adalah berbahaya bukan kerana ia jatuh ke Bumi tetapi ia mungkin bertembung dengan satelit yang sedang mengorbit. Serpihan kecil yang berkelajuan tinggi, sudah cukup untuk merosakkan sebuah satelit.

Satelit India terbabit dimusnahkan pada altitud rendah iaitu 300 kilometer (km) hingga 120 km di bawah ISS dan kebanyakan satelit yang sedang mengorbit.

Bridenstine dan pakar angkasa lepas lain juga berkata risiko itu akan berkurangan kerana kebanyakan serpihan akan terbakar ketika memasuki atmosfera bumi. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X