Rabu, 10 April 2019 | 12:16pm
Akihito sering melahirkan penghargaan terhadap Michiko dan ketika ulang tahun perkahwinan ke-50 mereka, mengakui beliau bukan sentiasa ‘bertimbang rasa’ disebabkan latar belakang berbeza pasangan berkenaan. -Foto Agensi

Akihito, Michiko sambut ulang tahun perkahwinan ke-60

TOKYO: Maharaja Jepun Akihito dan Maharani Michiko menyambut ulang tahun berlian mereka hari ini, menandakan enam dekad perkahwinan yang membantu memodenkan monarki.

Akihito, 85, akan turun takhta pada 30 April ini dan digantikan anak lelaki sulungnya, Putera Mahkota Naruhito.

‘Enam puluh tahun bersinar dengan sokongan bersama’ tulis akhbar harian perniagaan Nikkei mengenai perkahwinan pasangan diraja itu bersama gambar Michicko, 84, dengan tenang membantu Akihito apabila keliru dengan muka surat ucapannya dalam satu majlis baru-baru ini.

Kisah cinta dongeng yang bermula di gelanggang tenis yang menarik imaginasi popular juga menjurus tekanan kepada Michiko, rakyat biasa pertama berkahwin dengan pewaris takhta diraja lama Jepun.

“Memecahkan tradisi dalam Jepun amat sukar,” kata Kazuo Oda, yang hadir ketika Akihito dan Michiko bertemu dalam perlawanan tenis Ogos 1957, dua tahun sebelum berkahwin.

Perkahwinan mereka, secara meluas dianggap sebagai pasangan secocok, memberi harapan bahawa Michiko, anak perempuan seorang ahli perniagaan kaya, akan memodenkan keluarga diraja yang patuh tradisi itu.

Dalam banyak cara, Michiko melakukannya. Beliau membesarkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan sendiri, malah membuat bekalan makan tengah hari. Mengikut tradisi, anak raja dibesarkan jururawat dan pengasuh diraja.

Beliau juga menerajui bantuan popular untuk rakyat biasa termasuk golongan warga emas, cacat dan mangsa bencana, sering melutut untuk memeluk atau bercakap, isyarat yang mengejutkan golongan konservatif namun menawan hati orang awam.

Namun gambar umum sering dicemari berita keadaan kesihatan merosot Michiko, yang mana pengulas dan penyumbang mengaitkannya dengan layanan buruk keluarga diraja.

“Hidup sebagai puteri mahkota dan kemudian maharani bukan satu kedudukan mudah bagi saya,” katanya dalam kenyataan sebelum ulang tahun ke-84 beliau Oktober lalu.

Akihito sering melahirkan penghargaan terhadap Michiko dan ketika ulang tahun perkahwinan ke-50 mereka, mengakui beliau bukan sentiasa ‘bertimbang rasa’ disebabkan latar belakang berbeza.

Pasangan diraja itu menyambut ulang tahun perkahwinan mereka dengan upacara kecil-kecilan termasuk ucapan tahniah rasmi oleh keluarga dan pegawai serta makan malam di istana diraja. -Reuters


Gambar keluarga diraja Jepun diambil 3 Disember 2018. -Foto AFP

Berita Harian X