Ahad, 14 April 2019 | 4:30pm
KILANG Jiangsu Tianjiayi Chemical meletup mengorbankan 78 orang dan mencederakan ratusan yang lain. - Foto AP

6 lagi ditahan susulan letupan kilang di China

BEIJING: Polis menahan enam lagi suspek yang ada kaitan dengan letupan sebuah loji kimia di timur China bulan lalu hingga mengorbankan 78 orang dan mencederakan ratusan yang lain, kata pihak berkuasa.

Letupan di bandar Yancheng, wilayah Jiangsu bulan lalu itu antara kemalangan industri terburuk di negara ini hingga membawa kepada penutupan loji terbabit.

Enam kakitangan syarikat Jiangsu Tianjiayi Chemical, memikul tanggungjawab yang besar akibat letupan itu, kata kerajaan Yancheng dalam satu kenyataan ringkas di media sosial, Weibo.

Ia berkata, langkah-langkah tegas juga sudah diambil terhadap jenayah yang dilakukan mereka. Namun tidak dinyatakan bentuk tindakan tegas yang dimaksudkan itu.

Terdahulu, tiga suspek ditahan berhubung letupan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, langkah akan diambil terhadap Jiangsu Tianjiayi Chemical, serta pemegang saham yang mengawalnya iaitu Kumpulan Jiangsu Nijiaxiang.

Syarikat dengan 195 pekerja itu, ditubuhkan pada 2007 dan banyak menghasilkan bahan kimia mentah termasuk anisole, sejenis sebatian yang sangat mudah terbakar.

Menurut data dalam talian dari biro persekitaran dan ekologi bandar Yancheng, ia pernah melanggar undang-undang alam sekitar. Pada 2015 dan 2017, firma itu didenda kerana melanggar peraturan pengurusan sisa pepejal dan air.

Kemalangan maut membabitkan industri adalah perkara biasa di China berikutan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah dan tidak berkesan.

Pada November lalu, kebocoran gas di sebuah loji di bandar Zhangjiakou di utara China yang bakal menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, mengorbankan 24 orang dan mencederakan 21 orang lain.

Pada 2015, China berdepan antara kemalangan industri terburuk apabila sebuah loji kimia di bandar pelabuhan utara Tianjin meletup dan membunuh sekurang-kurangnya 165 orang. - AFP

203 dibaca
Berita Harian X