Isnin, 15 April 2019 | 10:52am
LETUPAN loji kimia yang mengorbankan 78 orang dan mencederakan beratus yang lain.

Polis China tahan 17 suspek letupan loji kimia

BEIJING: Polis China menahan 17 suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian letupan loji kimia di timur China bulan lalu yang mengorbankan 78 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain, kata pihak berkuasa, hari ini.

Pihak berkuasa bandar Yancheng menerusi akaun laman sosial Weibo menjelaskan, polis mengambil ‘tindakan paksaan jenayah’ terhadap 17 suspek, menjadikan jumlah individu yang ditahan susulan kes itu seramai 26 orang.

Kumpulan baharu yang ditahan termasuk beberapa individu daripada pertubuhan pihak ketiga yang tidak dinamakan, dituduh memalsukan penilaian projek dan maklumat syarikat Jiangsu Tianjiayi Chemical yang lojinya terbabit dalam letupan itu.

Letupan pada 21 Mac di timur wilayah Jiangsu itu adalah kemalangan industri terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa tahun hingga memaksa loji itu ditutup. Ia turut memusnahkan kawasan perindustrian dan merosakkan kawasan perumahan berhampiran.

Kemalangan maut membabitkan kawasan industri adalah sesuatu yang biasa berlaku di China, kerana negara itu terkenal gagal menguatkuasakan peraturan keselamatan.

Pada 2015, letupan besar-besaran loji kimia di bandar pelabuhan utara Tianjin membunuh kira-kira 165 orang. - AFP

Berita Harian X