Khamis, 18 April 2019 | 5:50pm
Ferdous Ahmad sudah membintangi lebih 200 filem namun diusir dari India kelmarin selepas bekempen untuk Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, lawan parti pemerintah Bharatiya Janata (BJP). -Foto Agensi

Bintang filem Bangladesh diusir dari India kerana berkempen

DHAKA: Seorang bintang filem Bangladesh memohon maaf selepas diusir dari India berikutan mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya negara itu, namun Menteri Luar yang menyokongnya berkata, jiran gergasi itu memberi reaksi terlampau.

Ferdous Ahmad sudah membintangi lebih 200 filem namun diusir dari India kelmarin selepas bekempen untuk Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, lawan parti pemerintah Bharatiya Janata (BJP).

India ketika ini sedang mengundi dalam pilihan raya mega diadakan dalam tujuh fasa, pusingan kedua bermula hari ini.

Ferdous, 45, berkata, beliau menghormati undang-undang India dan orang luar tidak seharusnya mengambil bahagian dalam pilihan raya negara lain.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya yang tidak disengajakan. Saya berharap semua orang yang bimbang memaafkan saya,” kata Ferdous dalam kenyataan dihantar kepada media tempatan.

Ferdous berkata, beliau tertarik dengan kecintaannya terhadap penduduk Bengal Barat di mana beliau membuat kemunculan pertama dalam sebuah filem Bengali pada 1997.

“Apa yang dilakukan Ferdous agak dikesali. Pada masa sama, cara India memberi reaksi keras terhadapnya, saya merasakan mereka memberi reaksi terlampau,” kata Menteri Luar Bangladesh, A K Abdul Momen kepada akhbar Dhaka Tribune.

Bangladesh memiliki hubungan rapat dengan India, terutama Bengal Barat yang bersempadan negara Islam itu.

Bintang filem dan pengarah dari Dhaka dan ibu kota Bengal Barat, Kolkata kerap bekerja sama untuk membuat filem pasaran bahasa Bengali berjumlah 250 juta orang di dua negara. -AFP

254 dibaca
Berita Harian X