Jumaat, 19 April 2019 | 4:19pm
BAYI lelaki terkecil dunia, Ryusuke Sekiya. - Foto AFP

Bayi lelaki terkecil dunia dibenarkan pulang hujung minggu ini

TOKYO: Bayi lelaki terkecil dunia, yang dilahirkan Oktober lalu di Jepun cuma seberat sebiji epal, dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi, kata doktor hari ini.

Ryusuke Sekiya dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean, ketika berusia 24 minggu dan lima hari dalam kandungan, apabila ibunya mengalami hipertensi.

Dengan seberat 258 gram, dia lebih ringan daripada pemegang rekod sebelumnya, seorang lagi bayi lelaki Jepun yang seberat 268 ketika dilahirkan tahun lalu.

Bayi berkenaan dibenarkan keluar dari hospital Februari lalu.

Ketika Ryusuke dilahirkan pada 1 Oktober 2018, dia cum berukuran 22 sentimeter tinggi, dan staf perubatan meletakkan bayi itu dalam unit rawatan rapi neonatal.

Mereka menggunakan tiub untuk memberi makan kepadanya, kadang-kadang mengambil putik kapas untuk meletakkan susu ibunya ke mulut Ryusuke.

Hampir tujuh bulan kemudian, bayi itu membesar 13 kali ganda dalam timbangan, kini lebih tiga kilogram berat.

Dia akan dibenarkan keluar dari Hospital Kanak-Kanak Nagano di tengah Jepun hujung minggu ini.

“Ketika dilahirkan, dia amat kecil dan seolah-olah akan patah dengan satu sentuhan sahaja. Saya amat bimbang.

“Kini, dia meminum susu. Kami boleh memandikan dia. Saya gembira melihat dia membesar,” kata ibunya, Toshiko.

Bayi perempuan paling kecil dilahirkan di Jerman pada 2015 seberat 252 gram, menurut pendaftaran yang dikumpulkan Universiti Iowa mengenai bayi terkecil yang hidup. — AFP

1185 dibaca
Berita Harian X