Jumaat, 19 April 2019 | 6:51pm
PAWAN Kumar. - Foto twitter

Salah undi parti, lelaki kerat jari sendiri

NEW DELHI: Seorang lelaki bertindak memotong jari telunjuknya selepas mengundi parti yang salah pada pilihan raya umum India.

Dalam video yang menjadi tular di media sosial, Pawan Kumar, berkata beliau keliru dengan simbol dalam mesin pengundian elektronik dan mengundi untuk parti pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, bukan pencabarnya di Uttar Pradesh semalam.

Kecewa dengan kesilapan itu, Kumar pulang dan mengerat jarinya dengan pisau pemotong daging.

Walaupun undian dilakukan secara elektronik di pusat pengundian, jari telunjuk setiap pengundi ditanda dengan dakwat kekal selepas membuang undi, untuk memastikan mereka tidak mengundi sekali lagi.

Video kedua menunjukkan pisau pemotong daging di atas lantai di luar tandas, dengan Kumar berdiri berhampiran sambil mengangkat tangannya yang berbalut.

“Saya mahu mengundi lambang gajah tetapi menanda lambang bunga,” katanya dalam video.

Teratai adalah simbol Parti Bharatiya Janata manakala Parti Bahujan Samaj, parti dalam pakatan bersaing dengan Modi di negeri utara India itu, menggunakan lambang gajah.

Simbol parti digunakan pada mesin pengundian.

“Saya pulang dan mengerat jari dengan pisau pemotong daging,” katanya, menambah tiada tekanan dikenakan terhadapnya berhubung undian itu.

Proses pengundian di India bermula 11 April lalu sehingga 19 Mei ini. — AFP

953 dibaca
Berita Harian X