Jumaat, 19 April 2019 | 9:52pm

Turki tahan dua disyaki pengintip UAE

ISTANBUL: Turki menahan dua lelaki disyaki pengintip Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyiasat sama ada mereka ada kaitan dengan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, lapor agensi berita Anadolu hari ini.

Kedua-duanya ditahan sebagai sebahagian siasatan dilakukan pendakwa raya Istanbul mengenai dakwaan pengintipan oleh UAE, menurut Anadolu.

Khashoggi, pengkritik lantang kerajaan Arab Saudi, dibunuh 2 Oktober lalu di konsulat negara itu di Istanbul oleh sekumpulan 15 ejen yang dihantar dari Riyadh. Mayatnya tidak ditemui sehingga kini.

Selepas menafikan pembunuhan itu pada awalnya, Arab Saudi akhirnya mengaku operasi itu dilakukan ejen.

Perbicaraan 11 suspek dibuka awal tahun ini di Arab Saudi.

Turki mempunyai hubungan rapuh dengan UAE dan Arab Saudi, dua negara Arab yang mengenakan sekatan ke atas Qatar, salah satu sekutu rapat Ankara. — AFP

412 dibaca
Berita Harian X