Sabtu, 20 April 2019 | 12:13pm
PENYOKONG Presiden Abdel Fattah al-Sisi pamer poster ketika keluar mengundi. - Foto AFP

Rakyat Mesir mengundi kukuhkan kuasa Sisi

KAHERAH: Rakyat Mesir keluar mengundi hari ini, dalam pungutan suara bertujuan untuk mengukuhkan pemerintahan Presiden Abdel Fattah al Sisi.

Walaupun berdepan bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia, pungutan suara selama tiga hari itu dijangka meluluskan pindaan perlembagaan yang bakal melanjutkan penggal al Sisi sekurang-kurangnya sehingga 2024.

Pindaan itu juga membenarkan Sisi, 64, bertanding untuk satu lagi penggal enam tahun, mengukuhkan kekuasaannya terhadap sistem kehakiman dan memberi tentera lebih banyak pengaruh dalam sistem politik negara itu.

Pungutan suara itu ternyata bercanggah dengan budaya ‘Arab Spring’ yang menyaksikan bantahan pro-demokrasi besar-besaran bulan ini menyingkirkan presiden veteran Algeria dan Sudan.

Sisi memastikan cengkaman kuasanya dalam suasana tidak menentu selepas bantahan awal ‘Arab Spring’ pada 2011 yang menumbangkan bekas presiden Hosni Mubarak, kemudian diganti bekas presiden Mohamed Morsi.

Ketika era pimpinan Morsi, Sisi menyingkirkannya pada 2013 dan pada tahun berikutnya memenangi penggal pertama sebagai presiden. Beliau dipilih semula pada Mac 2018 dengan mendapat undi 97 peratus selepas bertanding tanpa pencabar.

Pemerhati antarabangsa mengecam kedua-dua pilihan raya itu ketika kerajaan pimpinan Sisi dikritik teruk kerana menekan penentang yang terdiri daripada golongan agama dan sekular.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa pindaan perlembagaan itu bertujuan untuk mengukuhkan pemerintahan kuku besi Sisi, manakala kumpulan Amnesty berkata, parlimen menyokong perubahan itu dan ia adalah tindakan yang dianggap tidak menghormati hak asasi manusia. - AFP

329 dibaca
Berita Harian X