Sabtu, 20 April 2019 | 2:18pm
PELAYAR cacat penglihatan warga Jepun, Mitsuhiro Iwamoto mencipta rekod dunia apabila berjaya menamatkan pelayaran tanpa henti di Lautan Pasifik hari ini. - GoFundMe

Pelayar buta berjaya rentas Lautan Pasifik

TOKYO: Pelayar cacat penglihatan warga Jepun mencipta rekod dunia apabila berjaya menamatkan pelayaran tanpa henti di Lautan Pasifik hari ini, kata media tempatan hari ini.

Mitsuhiro Iwamoto tiba di pelabuhan Fukushima bersama kapal layar berukuran 12 meter awal pagi ini, kira-kira dua bulan selepas beliau memulakan pelayaran dari California.

Iwamoto, 52, penduduk tetap San Diego, memulakan pelayaran dari Amerika Syarikat pada 24 Februari lalu bersama Dough Smith, seorang pelayar Amerika yang membantu memberitahu maklumat seperti arah angin secara lisan.

Pelayaran itu adalah cubaan kali kedua beliau selepas pelayaran pertama terhenti separuh jalan selepas kapalnya dilanggar ikan paus dan menyebabkan ia karam.

“Saya sudah pulang. Terima kasih,” kata Iwamoto kepada tetamu yang menghadiri jamuan selepas kejayaan pelayaran sejauh 14,000 kilometer.

“Saya tidak berputus asa dan impian saya menjadi kenyataan,” katanya kepada Kyodo News.

Kyodo News melaporkan ia adalah kejayaan pelayar buta pertama merentas Lautan Pasifik.

Menurut laman web peribadi Iwamoto yang hilang penglihatan ketika berusia 16 tahun, tujuan pelayaran itu adalah untuk mengutip dana amal, sebagai usaha untuk membantu mencegah penyakit yang boleh menyebabkan hilang penglihatan. - AFP

208 dibaca
Berita Harian X