Ahad, 21 April 2019 | 9:23pm
Sekurang-kurangnya 207 maut hari ini dalam lapan letupan bom yang mensasarkan hotel dan gereja ketika penganut Kristian meraikan Easter. - Foto Reuters

Al-Azhar kutuk serangan 'pengganas' di Sri Lanka

KAHERAH: Institusi Sunnah terkemuka, Al-Azhar, hari ini mengutuk serangan ‘pengganas’ di Sri Lanka di hotel dan gereja ketika sambutan Hari Easter yang sudah meragut 207 nyawa.

“Saya tidak dapat bayangkan manusia boleh mensasarkan keamanan pada hari perayaan mereka.

“Tindakan pengganas ini menyalahi ajaran semua agama,” kata imam besar Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb yang disiarkan menerusi akaun Twitter institusi itu.

Sekurang-kurangnya 207 maut hari ini dalam lapan letupan bom yang mensasarkan hotel dan gereja ketika penganut Kristian meraikan Easter.

“Saya berdoa semoga Tuhan memberikan ketabahan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan kesembuhan kepada mereka yang cedera,” tambahnya.

Al-Azhar kerap mengecam pergerakan militan dan selalu mendekati penganut Kristian.

Februari lalu, Pope Francis dan Sheikh Tayeb menandatangani dokumen atas dasar kemanusiaan untuk keamanan dunia, yang dipuji Vatican sebagai langkah penting ke arah dialog antara Kristian dan Islam. — AFP

Berita Harian X