Jumaat, 17 Mei 2019 | 9:05am
Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. - Foto AP

4 maut nahas pesawat di Dubai

DUBAI: Empat maut dalam nahas membabitkan sebuah pesawat kecil berdaftar di United Kingdom kira-kira 4.8 kilometer ke selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Awam (GCAA) petang semalam.

Pesawat empat tempat duduk itu terhempas ketika dalam misi menandakan sistem pengemudian di lapangan terbang, dengan semua kru iaitu tiga rakyat Britain dan seorang Afrika Selatan, terbunuh.

Pasukan penyiasat dari GCAA tiba di lokasi nahas.

GCAA berkata, trafik udara di lapangan terbang itu kembali kepada normal, menambah ia akan meneruskan siasatan dan memberikan perkembangan terbaru.

Ia terhempas berhampiran Taman Mushrif ketika mendekati Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, kata Pejabat Media Dubai.

Dalam tweet, pejabat itu berkata: “Nahas membabitkan pesawat kecil dengan empat penumpang berlaku menyebabkan kematian juruterbang dan pembantunya. Pihak berkenaan berada di lokasi.

“Pesawat itu dimiliki Honeywell dan mempunyai empat penumpang di dalamnya, ketika terhempas disebabkan kerosakan teknikal.”

Lapangan terbang Dubai ditutup sejak 7.36 petang waktu tempatan sehingga 8.22 malam selepas kejadian dengan beberapa penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Maktoum berhampiran. — Agensi

556 dibaca
Berita Harian X