Jumaat, 17 Mei 2019 | 9:27am

Bunuh isteri enggan beritahu kata laluan telefon

ABU DHABI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati kerana menyimbah asid ke muka isterinya, yang menyebabkan kematian mangsa.

Mahkamah Agung Abu Dhabi mengekalkan hukuman dikeluarkan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman mati ke atas suspek selepas beliau membunuh isterinya dengan asid kerana mangsa enggan memberitahu kata laluan telefon bimbitnya.

Dokumen mahkamah menunjukkan pasangan itu sudah berkahwin 17 tahun dan mempunyai enam anak berusia antara tiga dan 16 tahun, lapor akhbar Emarat Al Youm.

Siasatan mendedahkan suspek mempunyai sejarah salah guna dadah dan pernah dipenjarakan lebih daripada sekali.

Selepas mangsa memfailkan perceraian, suspek menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit di media sosial dan memutuskan untuk membunuh wanita itu kerana curang.

Anak sulung mereka yang berusia 16 tahun berkata, bapanya memasuki rumah dengan beg hitam pada hari kejadian, meminta kata laluan telefon bimbit isterinya.

Apabila mangsa enggan, beliau mengamuk dan mengambil botol asid dari beg berkenaan dan menyimbah muka dan tubuh isterinya sebelum meninggalkan mangsa.

Menurut keterangan remaja itu, mangsa meminta anaknya menyiram kecederaan itu dengan air sejuk untuk mengurangkan rasa terbakar.

Mangsa meninggal dunia dalam pelukan enam anaknya ketika mereka memeluk dan menenangkan ibu mereka. — Agensi

Berita Harian X