Khamis, 23 Mei 2019 | 12:13am

Jokowi marah gelagat ganas perusuh

JAKARTA: Ibu kota Jakarta bertukar seperti medan pertempuran selepas kumpulan penunjuk perasaan membuat kecoh, semalam - sekali gus mengundang kecaman Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Beliau bertegas pihak berkuasa akan bertindak tegas ke atas dalang yang mengganggu keamanan, proses demokratik dan perpaduan selepas sekurang-kurangnya enam orang maut dan 200 lagi dilaporkan cedera.

“Kami tidak akan memberi sebarang ruang kepada perusuh cuba menjejaskan perpaduan Republik Indonesia. Tentera dan polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” kata Widodo.

Rusuhan itu tercetus selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) yang mengesahkan kemenangan Jokowi sebagai presiden bagi tempoh 2019-2024, kelmarin.

Sementara itu, ketua pembangkang, Prabowo Subianto meminta semua pihak menjauhkan diri daripada melakukan keganasan.

“Saya menyeru orang ramai yang menyuarakan aspirasi mereka, polis, tentera dan semua pihak supaya menahan diri daripada melakukan penderaan fizikal,” kata bekas jeneral tentera itu.

Terdahulu, orang ramai sudah membanjiri pusat bandar Jakarta sejak awal semalam dan polis menjangka lebih ramai lagi akan menyertai kumpulan itu.

Sebahagian penunjuk perasaan yang tiba dilihat membawa batang kayu dan ada yang menyapu ubat gigi di sekeliling mata bertujuan melindungi diri daripada gas pemedih mata.

Difahamkan kebanyakan penunjuk perasaan datang dari luar Jakarta dan polis menemui sampul surat mengandungi wang ketika memeriksa sebahagian mereka, kata jurucakap Polis Nasional, Muhamad Iqbal dalam satu sidang akhbar.

Ketua Kakitangan Presiden, Moeldoko berkata beliau percaya wujud satu usaha sistematik oleh kumpulan tertentu, bertujuan mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas dua pistol daripada individu yang terbabit dalam rusuhan itu.

Tunjuk perasaan yang bermula dengan aman berhampiran kawasan komersil Tanah Abang Selasa lalu bertukar ganas menjelang malam, menyaksikan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh. - Reuters

3179 dibaca
Berita Harian X