Isnin, 3 Jun 2019 | 10:34pm
Polis Tokyo menahan Hideaki Kumazawa, 76, kelmarin, atas cubaan membunuh kerana menikam anak lelakinya dengan pisau. Kumazawa kini seorang suspek pembunuh selepas anak lelakinya meninggal dunia. -Foto Reuters

Bimbang mengamuk, bekas duta tikam mati anak lelaki

TOKYO: Bimbang anak lelakinya yang suka menyendiri membahayakan orang awam, seorang bekas birokrat atasan di Jepun menikam mati pemuda berusia 44 tahun itu, kata media tempatan, beberapa hari selepas insiden tikaman beramai-ramai menggegarkan negara itu.

Insiden itu memberi tumpuan terhadap peningkatan golongan dewasa hikikomori atau individu yang tinggal di rumah bersama ibu bapa dan jarang keluar, menghabiskan berhari-hari memencilkan diri.

Polis metropolitan di sini berkata, mereka menahan Hideaki Kumazawa, 76, kelmarin, atas cubaan membunuh kerana menikam anak lelakinya dengan pisau. Hari ini, media berkata, Kumazawa kini seorang suspek pembunuh selepas anak lelakinya meninggal dunia.

Penyiar nasional NHK berkata, Kumazawa, bekas duta ke Republik Czech memberitahu penyiasat, tindakan ke atas anak lelakinya dicetuskan oleh berita minggu lalu mengenai lelaki bersenjatakan pisau yang mengelar kumpulan murid sekolah, mengorbankan dua dan mencederakan 17 lain.

Suspek dalam insiden itu juga seorang lelaki pertengahan usia dan jarang keluar rumah di mana dia tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya. Lelaki itu membunuh diri selepas menikam mangsa.

Kumazawa memberitahu polis, anak lelakinya gemar memencilkan diri dan kadang kala bertukar ganas, kata NHK.

Insiden tikaman itu diikuti pertengkaran di mana dia memarahi anak lelakinya kerana berang bunyi bising akibat acara sukan di sekolah berhampiran, kata media. -Reuters

1765 dibaca
Berita Harian X