Isnin, 10 Jun 2019 | 8:39pm
Polis mengawal demonstrasi yang diadakanbagi membantah pindaan undang-undang ekstradisi di Hong Kong. Foto AFP

China pertahan pindaan undang-undang ekstradisi Hong Kong

BEIJING: China menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Hong Kong yang berdepan kontroversi mengenai isu ekstradisi ke tanah besar, sekali gus menolak campur tangan luar, susulan bantahan besar-besaran terhadap rang undang-undang itu.

Pihak penganjur mendakwa lebih sejuta penduduk wilayah itu berarak bagi membantah undang-undang itu, mengakibatkan bahagian tengah Hong Kong lumpuh pada hujung minggu lalu.

Bantahan itu berlaku ketika kerajaan separuh autonomi pro Beijing berkenaan berdepan dengan krisis politik utama.

Pengkritik undang-undang yang dicadangkan kerajaan itu berkata, ia bakal menghakis kebebasan yang dimiliki rakyat wilayah itu, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada belas ihsan sistem kehakiman Beijing.

Bantahan itu tidak menjejaskan Beijing dan jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang, berkata negara itu akan terus menyokong pentadbiran Hong Kong.

“Kami dengan tegasnya menolak campur tangan pihak luar dalam hal ehwal perundangan wilayah ini,” katanya pada sesi taklimat media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan beberapa negara berhubung pindaan berkenaan. - AFP

Berita Harian X