Isnin, 10 Jun 2019 | 10:14pm
Salah satu kem penempatan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh. Foto Agensi

Bangladesh bidas Myanmar berhubung isu Rohingya

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina membidas Myanmar berhubung penangguhan program penghantaran pulang pelarian Rohingya, yang melarikan diri daripada insiden keganasan di negara jiran itu.

Ketika ini, kira-kira 740,000 etnik Rohingya berlindung di kem penempatan sementara yang sesak di Bangladesh, selepas tentera Myanmar memaksa mereka menyelamatkan diri ke sempadan dalam serangan pada 2017.

Berikutan itu, masih ramai yang bimbang mengenai keselamatan masing-masing jika mereka kembali ke Myanmar, apabila penduduk minoriti Islam berdepan penindasan dan dinafikan hak mereka sejak berdekad lamanya.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Bangladesh itu menunjukkan tahap kesabaran negara itu dalam menangani isu pelarian Rohingya semakin menipis.

Kedua-dua negara, iaitu Bangladesh dan Myanmar menandatangani perjanjian penghantaran pulang pada November 2017, namun sehingga kini tiada pelarian Rohingya yang menawarkan diri untuk pulang ke kampung halaman mereka, secara sukarela.

“Masalahnya berpunca daripada Myanmar kerana mereka enggan mengambil semula pelarian Rohingya, walau dengan apa cara sekalipun,” kata Hasina pada satu sidang media.

Beliau turut mengkritik agensi bantuan antarabangsa yang berkhidmat di beberapa kem pelarian di kawasan sempadan di Cox’s Bazar, yang membantah sebarang usaha penempatan semula, dan mendakwa mereka tidak berminat untuk menamatkan krisis itu.

“Ketika ini, saya melihat masalah ini berpunca daripada pelbagai agensi antarabangsa yang menyedia perkhidmatan sukarela atau berkhidmat di beberapa kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, yang tidak mahu mana-mana pelarian pulang (ke Myanmar).

“Masalah utamanya berlaku di sini,” katanya.

Kerajaan Bangladesh berkata, mereka tidak akan memaksa pelarian Rohingya untuk pulang ke Myanmar, selepas penduduk minoriti Islam berdepan dengan beberapa siri penganiayaan, selain insiden pada 2017, yang menyaksikan ramai mati dibunuh, dirogol, manakala rumah mereka dibakar.

Pada masa sama, Hasina menggesa satu siasatan dijalankan ke atas penganjur tunjuk perasan membantah program penempatan semula, yang diadakan di beberapa kem penempatan.

“Siapa yang memulakan pergerakan itu.

“Mereka yang memberi bantuan kepada pelarian Rohingya, sebenarnya menentang sekeras-kerasnya (penempatan semula), walaupun kerajaan sudah membina rumah dan struktur yang cantik di Bhashan Char,” katanya ketika mengulas mengenai kawasan perlindungan yang dibina Kerajaan Bangladesh di sebuah pulau di Teluk Bengal.

Hasina mengeluarkan kenyataan itu, susulan laporan pasukan tindak balas kecemasan, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang bocor dan disaksikan oleh AFP minggu lalu, mengenai penilaian cemerlang diberikan kepada Myanmar dalam usahanya mengambil semula pelarian Rohingya.

Laporan itu, menunjukkan anggota pemerhati mengenepikan insiden kekejaman oleh pihak tentera, kejadian perang saudara di Rakhine dan menyalahkan pegawai Bangladesh kerana gagal mengendali dokumen diperlukan, sekali gus menyebabkan proses penghantaran pulang tertangguh. - AFP

Berita Harian X