Ahad, 16 Jun 2019 | 6:46pm
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di sekitar Hong Kong bagi mendesak Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletakkan jawatan dan membatalkan rang undang-undang ekstradisi. Foto Reuters
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di sekitar Hong Kong bagi mendesak Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletakkan jawatan dan membatalkan rang undang-undang ekstradisi. Foto Reuters

Penunjuk perasaan desak Lam letak jawatan

HONG KONG: Ribuan penunjuk perasaan berbaju hitam berarak membanjiri pusat bandar di sini hari ini, bagi menuntut pemimpin wilayah itu meletak jawatan, sehari selepas beliau menangguhkan rancangan rang undang-undang ekstradisi.

Penunjuk perasaan dilihat membawa bunga putih, manakala sebahagian lagi memegang sepanduk bertulis “Jangan tembak, kami penduduk Hong Kong” sebagai tanda protes aman, bimbang pertempuran dengan polis Rabu lalu berulang kembali.

Orang ramai bersorak, sebaik sahaja penganjur mula bercakap menggunakan pembesar suara mendesak Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletak jawatan.

Lam yang disokong Beijing, dalam nada sedih dan kesal semalam, menangguhkan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan rakyat wilayah itu dibicarakan di tanah besar China.

Bagaimanapun, beliau tidak meminta maaf.

Seorang pelajar, Catherine Cheung, 16 berkata, Lam enggan meminta maaf semalam dan ia tidak boleh diterima.

“Beliau seorang pemimpin yang tidak baik dan penuh tipu daya.

“Saya rasa beliau hanya menangguhkan sahaja rang berkenaan supaya kita bertenang,” katanya.

Pengkritik berkata, undang-undang ekstradisi yang dirancang itu boleh mengancam peraturan perundangan Hong Kong dan reputasi antarabangsanya sebagai hab kewangan Asia. - Reuters

Berita Harian X