Ahad, 16 Jun 2019 | 9:52pm
Penunjuk perasaan memasang gambar Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam di hadapan van berwarna hitam ketika perhimpunan mendesak pembatalan undang-undang ekstradisi di Hong Kong, China. Foto EPA

Carrie Lam akhirnya mohon maaf kerana cetus konflik

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam mengemukakan permohonan maaf selepas pentadbirannya cuba meluluskan undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke China, baru-baru ini.

Pindaan undang-undang itu adalah faktor pencetus kepada beberapa siri protes dan perhimpunan besar-besaran sepanjang minggu ini.

Pejabat Lam dalam satu kenyataan berkata, ketua eksekutif itu mengakui, kelemahan dalam gerak kerja kerajaannya membawa kepada konflik dan pertikaian dalam kalangan masyarakat Hong Kong.

“Konflik dan pertikaian ini mengecewakan dan menggusarkan ramai penduduk.

“Ketua eksekutif (Carrie Lam) meminta maaf kepada seluruh warga Hong Kong dan berjanji akan menerima segala kritikan dengan seikhlasnya dan penuh rasa rendah hati,” katanya.

Terdahulu, ratusan ribu penunjuk perasaan berpakaian hitam berarak membanjiri pusat bandar di sini, bagi menuntut pemimpin wilayah itu meletak jawatan, sehari selepas beliau menangguhkan rancangan rang undang-undang ekstradisi.

Ia dianggap senario politik terburuk pernah dilalui Hong Kong selepas Kerajaan Britain menyerahkan kembali pentadbiran Hong Kong kepada China pada 1997. - AFP

1328 dibaca
Berita Harian X