Selasa, 18 Jun 2019 | 7:14am
Tambahan 1,000 tentera AS akan ditempatkan di Asia Barat susulan ancaman Iran. -Foto AFP
Tambahan 1,000 tentera AS akan ditempatkan di Asia Barat susulan ancaman Iran. -Foto AFP

AS hantar tambahan 1,000 askar ke Asia Barat

WASHINGTON: Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Patrick Shanahan mengumumkan pengerahan tambahan kira-kira 1,000 askar negara itu ke Asia Barat dalam apa yang dikatakan untuk tujuan pertahanan, memetik kebimbangan ancaman daripada Iran.

“Serangan terbaharu Iran mengesahkan perisikan boleh dipercayai yang kami terima berkaitan tindakan permusuhan tentera Iran dan kumpulan proksi yang mengancam kakitangan AS dan kepentingan di seluruh rantau,” kata Shanahan dalam satu kenyataan.

Kebimbangan konfrontasi antara Iran dan AS memuncak sejak Khamis lalu apabila dua kapal tangki minyak diserang, lebih setahun selepas Presiden Donald Trump mengumumkan Washington keluar daripada perjanjian nuklear 2015.

Gambar dikeluarkan Jabatan Pertahanan AS menunjukkan imej diambil helikopter tentera laut MH-60R berhubung kerosakan dialami kapal tangki minyak M/T Kokuka Courageous yang bersamaan serangan periuk api. -Foto EPA

Iran berkata semalam, ia akan melepasi had pelanggaran berapa banyak pengayaan uranium boleh disimpan mengikut perjanjian itu dalam tempoh 10 hari, yang mana jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata, bersamaan ‘ugutan nuklear.’

Perjanjian 2015 yang ditandatangani Iran dan negara lain mengekalkan bekalan pengayaan uranium Tehran pada 300 kilogram untuk pengayaan 3.67 peratus.

Sementara itu, tentera AS semalam mengeluarkan imej baharu menunjukkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengeluarkan periuk api yang tidak meletup daripada sebuah kapal tangki minyak milik Jepun yang diserang 13 Jun lalu di Teluk Oman, dipersalahkan ke atas Tehran.

“Iran bertanggungjawab atas serangan itu berdasarkan bukti video dan sumber serta kemahiran diperlukan untuk mengeluarkan segera periuk api tidak meletup,” kata Pusat Arahan Tentera AS dalam kenyataan menjelaskan imej pegun itu dilaporkan Arab News. -Reuters/Agensi

Gambar dirakam helikopter tentera laut AS MH-60R menunjukkan Kor Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran mengeluarkan periuk api tidak meletup daripada kapal tangki minyak M/T Kokuka Courageous. -Foto EPA

Berita Harian X